NUFFNANG ADDS

ANNIVERSARY

Daisypath Anniversary tickers

::BIRTHDAY AKU::

Daisypath Happy Birthday tickers

Saturday, July 17, 2010

11 TAHUN YANG LALU...

Malam itu, aku rasa tak sedap hati. Macam ada sesuatu yang tak kena. Mummy tidur lepas Maghrib tu sebab penat bekerja pada siang hari. Aku dan adik-adikku menonton TV. Sedang asyik menonton, tiba-tiba pintu rumah kami diketuk. Ketika itu kami bermastautin di Port Klang. Aku mengejutkan mummy dari lena. Aku membuka pintu dan jiranku, Opah Zizah memberitahu bahawa pakcikku yang bertugas sebagai anggota polis meninggal dunia. Ketika itu talian telefon masih belum ada di rumah kami (mummy tahu anaknya ni kaki bergayut), hanya yang ada talian mudah alih milik daddy. Tapi waktu itu daddy tiada di rumah (tak ingat pergi mana, berlayar kot) so talian tak dapat dihubungi. Pihak PDRM dari Gua Musang hanya dapat menghubungi Balai Polis Port Klang yang terletak bersebelahan kuarters kami dan mereka menghubungi jiranku. Ketika menerima berita tersebut, hatiku kuat mengatakan bahawa bukan Pakcik Alim yang kemalangan sebaliknya Pakngah Yazid kerana dia pun polis.

Tak berapa lama selepas itu daddy pulang. Lepas mendapat tahu berita itu kami bersiap untuk pulang ke Teluk Intan. Untuk memuaskan hati, daddy singgah ke balai polis sebelah rumah tu dan bertanya berita lanjut. SAH! Yang meninggal dunia bukan Pakngah Yazid tapi sebaliknya Pakcik Alim. Sepanjang perjalanan ke Perak air mataku tak henti mengalir. Macam-macam dalam fikiran. Adik-adikku masih kecil ketika itu. Mereka nyenyak tidur di sebelah tetapi aku langsung tak dapat melelapkan mata. Perjalanan selama 3 jam itu terasa seperti 13 jam lamanya. Walaupun daddy nampak tenang sepanjang pemanduan tapi aku tahu dalam hati daddy menangis.

Sampai sahaja di kampung, nenek sudah tak bermaya. Air matanya sudah kering dek menangis. Beberapa kali nenek pitam. Mummy, arwah moyangku dan beberapa orang makcik serta nenek saudaraku cuba menenangkan nenek. Aku tak sanggup melihat keadaan nenek, mana taknya, anak lelaki bongsunya sudah pergi terlebih dahulu darinya buat selama-lamanya. Malam itu aku hanya mampu tidur-tidur ayam.

Bangun sahaja pagi esok, saudara-mara yang dekat dan jauh sudah memenuhi kediaman nenek. Sebelum Zohor, jenazah pakcik tiba dari Gua Musang setelah siap dimandi dan dikafankan. Kami sekeluarga melihatnya buat kali terakhir. Aku tak akan melupakan detik-detik itu ketika melihat raut wajahnya. Sekali lagi air mataku tumpah melihat dia 'tidur' dengan tenang. Tak dapatku bayangkan keadaannnya sewaktu kemalangan itu. Arwah pakcik kelihatan bersih dan seperti tidak mahu diganggu tidurnya. Aku tidak dapat menahan tangis, aku duduk di tangga dan melepaskan empangan air mataku. Mummy datang dan mententeramkan aku. Pengebumian pakcik berjalan lancar dengan penuh penghormatan daripada rakan-rakan polisnya. Itulah kali pertama aku kehilangan orang terdekat dalam hidupku. Kini sudah 11 tahun dia pergi dari hidupku. Dialah salah seorang bapa saudaraku yang begitu menyayangiku sewaktu kecilku, sentiasa menggendongku setiap kali aku pulang ke kampung (itu yang mummy cerita). Walaupun aku jauh untuk ke 'rumahnya', aku tidak pernah lupa sedekahkan Al-Fatehah dan Yaasiin buatnya. Damailah di sana pakcik. Anakmu ini sentiasa merinduimu.

Dari Hati Nuraniku,fara,,

No comments: