.:: Gambar di atas adalah gambar sambutan Hari Guru di sekolahku, SMKKSAB dan juga gambar guru-guru yang telah berjasa kepadaku ::.
'Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara'
Itu adalah tema bagi Sambutan Hari Guru ke-40 peringkat kebangsaan yang telah diadakan di Kuching, Sarawak pada tahun ini. Sesungguhnya, jasa, didikan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh seorang guru adalah untuk menjadikan anak didiknya seorang insan yang berjaya dan berguna kepada nusa dan bangsa. Walaupun ibu dan bapa adalah pendidik utama anak-anak, guru juga turut memainkan peranan mendidik di sekolah.
Jika di zaman dahulu, guru sangat disanjung tinggi dan begitu dihormati olah masyarakat, kini situasi itu telah berubah. Ramai dalam kalangan pelajar dewasa ini tidak lagi menghormati para pendidik ini, bahkan ada juga dalam kalangan mereka yang mengherdik, menghina, dan memaki hamun guru semata-mata kerana tidak berpuas hati apabila ditegur oleh guru terbabit. Kereta guru dicalarkan, dipancitkan tayarnya, demi untuk membalas dendam. Apakah wajar sikap sebegini ditunjukkan oleh generasi alaf 21 yang serba maju, moden, dan dikatakan berpendidikan?
Suatu masa dahulu, jika anak-anak dimarah atau ditegur oleh guru di sekolah, ibu bapa hanya mendengar bahkan bersetuju dengan tindakan guru terbabit. Tidak ada kes saman-menyaman kerana mereka tahu apa yang baik untuk anak-anak mereka. Tidak mungkin guru terbabit akan merosak atau mencederakan anak mereka kerana dia hanya ingin mendidik dan mengajar anak terbabit agar tidak menjadi sampah masyarakat suatu hari nanti. Aku juga pernah dimarah dan dirotan oleh cikguku kerana kenakalan ku sendiri. Bahkan disebabkan rotannya itulah aku menjadi manusia kini. Terima kasih Cikgu Ramdzan dan tidak lupa juga buat arwah Cikgu Norlela kerana marahnyalah membuatkan aku sedar daripada zaman nakalku.
Buat semua cikguku di:
- Sekolah Kebangsaan Seri Selamat, Sitiawan, Perak
- Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Klang, Selangor
- Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Raja Zarina, Selangor
- Sekolah Menengah Kebangsaan Cenderawasih, Kuantan, Pahang
- Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor
TERIMA KASIH CIKGU!! Selamat Hari Guru saya ucapkan buat kalian semua. Semoga kerjaya cikgu semua akan terus bersinar demi mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna. Saya sayang cikgu semua. :')
P/S: Salah satu kerjaya yang akan meninggalkan nama sehingga mati adalah guru. Walaupun dirinya sudah tiada atas muka bumi ini, panggilannya sebagai 'cikgu' akan tetap bersemi buat selamanya.
fara,,
No comments:
Post a Comment